MAC 2025

Sarawak Terus Kukuh Ekosistem Perdagangan, Pelaburan


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus melaksanakan usaha berterusan untuk menarik lebih banyak pelaburan dan perniagaan ke negeri ini, selaras dengan matlamat menjadi wilayah maju menjelang 2030.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejayaan ini didorong oleh kebijaksanaan kepimpinan serta dasar-dasar mesra pelaburan yang menarik perhatian pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Kita akan terus memperkukuhkan ekosistem perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing, inklusif dan manfaat. 

“Kejayaan Sarawak sebagai hab pelaburan progresif dan destinasi perdagangan yang diyakini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat yang sentiasa bersatu hati,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya hari ini.

Dalam semangat Aidilfitri ini, beliau mengajak rakyat Sarawak bersama-sama membina masa depan ekonomi wilayah ini dan negara yang lebih cemerlang, memacu inovasi dan memperkukuh jaringan perdagangan global sambil memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati limpahan manfaat pembangunan ekonomi.

Beliau memberitahu, perpaduan merupakan asas utama kepada kestabilan, keamanan, dan keharmonian dalam masyarakat di Sarawak.

Tegasnya, menghormati adalah amalan dalam masyarakat di Sarawak walaupun berbeza dari segi kepercayaan agama, budaya, bahasa dan latar belakang.

“Aidilfitri menjadi lambang penyatuan, kemaafan dan pengukuhan hubungan kemasyarakatan. 

“Dalam era pembangunan dan globalisasi ini, nilai-nilai murni seperti integriti, ehsan dan kesederhanaan amat penting untuk kita lestarikan bukan sahaja dalam hubungan peribadi, malah dalam amalan kepimpinan, pentadbiran dan perdagangan,” tambahnya.